Rabu, 16 Februari 2011

MEMAAFKAN AGAR DI MAAFKAN

19 June 2010 3 Komen

Memaafkan Agar Dimaafkan

Memberi maaf kekadang lagi susah daripada meminta maaf. Siapa yang setuju dengan kenyataan tersebut?? Ah, kenapa dengan diri ini? Apa yang pernah dibaca dalam Al- Quran, hadis dan buku-buku ilmiah susah sangat nak diamalkan. Benar, membaca sahaja tidak akan menjadikan kita insan yang lebih baik, jika ilmu tersebut tidak dipraktikkan. Apabila cuba dipraktikkan, barulah terasa pedihnya. Ego dihimpit, rasa marah dan tertekan memuncak. Mampukah kita memaafkan ketika berkuasa membalas?? Forgive and forget? Wah, jauh sekali! NAK LUPAKAN?? Huhu, Nak maafkan pun susah!
Cuba renungkan kisah seorang sahabat ini…
Aku (sahabat tersebut) bertemunya sekali lagi setelah sekian lama terpisah. Perpisahan yang disebabkan perselisihan. Secara “basi-basi” memang kami telah bermaafan. Tetapi dia (sahabat yang lain) dan aku tahu, mendung di dalam hati kami masih lagi belum reda. Kini, setelah 5 tahun berlalu, suasana sudah berubah. Yang di bawah ke atas, yang di atas meluncur ke bawah.
“Maaf bang…”
Aku tergamam. Aku renung matanya yang agak layu dan keletihan itu.
“Oh, tak apa-apa. Kita jumpa lagi nanti ek,” kataku sambil memberikan kad nama. Dia juga menghulurkan kad namanya dan kami terus berpisah. Sepanjang perjalanan pulang ke rumah, hatiku resah. Jelas, masih sukar untuk aku melupakan kesalahannya. ATAU AKU MASIH BELUM MEMAFKANNYA SEBENARNYA??
Perlahan aku mainkan semula sebuah kaset daripada siri kaset-kaset “pengubat jiwa” koleksi peribadi yang ada di dalam kereta.
“Orang yang tidak memaafkan, akan sentiasa ‘diikat’ oleh orang yang tidak dimaafkannya. Maafkanlah, nescaya kau akan terlepas daripada ‘belenggu ikatan’ orang yang bersalah tersebut. Kau akan bebas daripada terus mengingati kesedihan, kekecewaan dan kemarahan yang dikenakannya ke atas kamu. Itu lagi sakit. Maafkanlah, dan engkau akan sihat,engkau akan bebas!” Ustaz memulakan bicara.
Aku diam. Akur. Rupa-rupanya aku masih dibelenggu rasa sakit itu.
“Mengapa terlalu sukar untuk memaafkan? Ya, engkau ego. Rasa besar diri. APA PUNCA EGO?? Engkau tidak merasakan kebesaran Allah. Orang yang merasakan kebesaran Allah, akan merasa kekerdilan dirinya,”
Sekali lagi suara dalam kaset itu menusuk hatiku. Aku ego? Ya, jawab suara hatiku.
“Allah lagikan Pengampun. Dosa demi dosa hamba-Nya, diampunkan semuanya. Bukan sekadar mengampunkan, malah Allah menyayangi pendosa yang bertaubat daripada dosanya,”
“Kenapakah kau rasa ‘besar’? Kaukah yang berikan dia rezeki? Kaukah yang berikan dia hidayah? Kaukah yang sembuhkan dia daripada sakit demamnya? Insaflah, Allah yang berikan dia semuanya. Jika Allah yang begitu besar jasa kepadanya pun memaafkan, adakah kau layak untuk tidak memaafkan?” Sekali lagi aku terhenyak. Oh, egonya aku.
Aku belokkan kereta ke arah lain. Tidak jadi pulang ke rumah. Sengaja memanjangkan masa untuk mendengar suara kaset dan suara hati sendiri.
“Kau tau tak, aku tak suka orang yang mungkir janji. Kau selalu mungkir janji. Aku tunggu kau lewat. Kau janji nak bayar tapi kau lupa. Kau kata nak buat, kau tangguh. Kau janji macam-macam, tapi habuk pun tak ada. Kau buat macam-macam, berulang-ulang kali… Kali ini aku susah sangat, kau buatkan aku begini. Sampai hati kau.” Bentakku setelah sahabatku itu memungkiri janji sekali lagi.
“Eh, siapa suruh kau percaya? Siapa suruh kau tunggu?? Biasalah, kau takkan tak tahu perangai aku macam mana kan.” Tempelak sahabat yang lain itu.
“Kalau macam ni susahlah aku.”
“Dah tahu susah, jangan kawan dengan aku! Marah si sahabat lain.
Masih terngiang-ngiang dialog di antara kami ketika  itu. Walaupun dua hari kemudian dia menelefonku meminta maaf, dan aku memaafkannya, tetapi sejak itu kami ‘putus’ hubungan.
“Cuba bayangkan, kasih sayang Allah. Kalau seorang itu berdosa, kemudian bertaubat, dan buat dosa lagi, bertaubat lagi, namun Allah masih dan terus sudi mengampunkannya setiap kali dia bertaubat. Sebab itu kata Imam Al-Ghazali, seorang hamba yang bertaubat tetapi kembali berdosa, jangan sekali-kali putus asa untuk tidak bertaubat lagi. Mana tahu Izrail mencabut nyawanya ketika dia sedang bertaubat atau sedang dalam perjalanan menuju satu taubat.  Alangkah beruntungnya orang itu.” terang ustaz lagi.
Aku terdiam. Alasanku tidak memaafkannya ialah dia buat begitu- memungkiri janji, berulang-ulang kali. Ya, sukarnya memaafkan, tapi Allah?? Sekali lagi, suara hati menusuk jiwa, SIAPA BESAR???
Reputasiku hampir hancur, malah aku hampir kehilangan pekerjaan dibuatnya. Tapi, terlalu besarkah dosanya kepadaku??
“Sekalipun si hamba datang dengan dosa sepenuh langit dan bumi, sebanyak pepasir di pantai, seluas air di lautan, Allah akan mengampunkannya. Sebesar- besar dosa manusia, besar lagi pengampunan Allah. Malah, keampunan-Nya sentiasa mendahului kemurkaan-Nya.”
“Aduh, kecilnya kesalahan manusia dengan manusia berbanding dosa antara manusia dengan yang Maha Esa. APAKAH ALASAN KITA UNTUK TIDAK MEMAAFKANNYA?? “
“Sedangkan Allah sudi memaafkan walau sebesar mana pun dosa kita, insan yang hina ini kepada-Nya, zat yang Maha Mulia.”
“Maafkan dosa sesama kita, insan yang hina ini, agar mudah kira bicara kita di mahkamah keadilan-Nya nanti. Allah Maha Penyayang, suka kepada orang yang penyayang. Allah Maha Pemaaf, dan suka kepada orang yang suka memaafkan. MAAFKANLAH AGAR DIMAAFKAN.” Ustaz menamatkan bicaranya di dalam slot tersebut.
Ingin segera rasanya diri ini memaafkan, agar segera dosa-dosa kita diampunkan Allah. Ya  Tuhan, …egonya aku selama ini. Menyimpan sifat “ketuhanan” dalam diri yang begitu hina dan serba kekurangan ini. Ya Allah, semoga Kau mengampunkan dosa-dosa hambaMu ini yang bertimbun-timbun ini. Amin Ya Rabbal Alamin.
Semoga cerita ringkas ini mampu menjadi iktibar bagi diri kita semua. Yang penting adalah amal. ILMU TANPA AMAL UMPAMA POHON YANG TIDAK BERBUAH. Tak guna kita tahu pentingnya memaafkan, tapi kita tidak praktikkannya…Wallahualam.

0 komentar:

Posting Komentar